follow me....

Sunday, May 6, 2012

Apresiasi Karya Pelukis Barat Aliran Impresionisme Claude Monet – Impression Sunrise





Claude Monet
Impression Sunrise (1872)
Oil on canvas (48 cm × 63 cm)

Karya Claude Monet yang bertajuk Impression Sunsrise ini merupakan karya agung bagi aliran impresionisme. Karya ini menggambarkan pemandangan landskap sebuah lautan di Le Harve. Pemandangan lautan ini kelihatan seperti berkabus tetapi dipancarkan oleh terik matahari terbit. Kelihatan dua buah bot yang sedang di dayung. Jelas kelihatan dua orang di atas bot bahagian hadapan dan bot belakang agak kabur.  Di belakang karya ini kelihatan seperti kargo atau dermaga yang tersusun di pinggir laut tetapi dikaburi oleh kabus pagi.


          Warna  yang digunakan kelihatan suram. Namun monet tetap berpegang pada prinsip aliran ini yang mementingkan cahaya dengan memalitkan warna oren kekuningan untuk menunjukkan suasana waktu fajar. Warna oren yang mewakili matahari senja menembusi lautan lalu membiaskan cahayanya pada air laut  yang kelihatan tenang itu dan meninggalkan kesan yang romantis pada karya tersebut.  Kepekaan pelukis pada kesan cahaya yang berjaya menunjukkan realiti dan keajaiban tentang perubahan atmosphera di langit dan kesan yang terjatuh pada permukaan air . Permukaan air yang bergerak dan bersinar dengan warna merah jingga telah digunakan oleh Monet untuk menyatakan aspirasi semangat impresionisme sebagai pergerakan, perjuangan mengangkat gaya dalam seni lukis. Garisan dalam karya ini di tonjolkan melalui kesan sapuan berus terutamanya pada bahagian pergerakan air yang tenang. Manakala garis halus dilakar untuk menunjukkan objek kabur iaitu tiang-tiang kargo yang diselindungi kabus pagi. Jalinan terhasil melalui kesan sapuan berus dan warna yang tebal pada bahagian langit dan permukaan air.

              Karya ini menggambarkan mengenai kedamaian suasana lautan di waktu pagi dimana masyarkat mula mendayung sampan untuk melakukan aktiviti harian. Warna terang yang melambangkan matahari pagi menggambarkan kepada kita bahawa setiap hari disuluhkan dengan semangat baru untuk melakukan aktiviti seharian. Laut yang tenang dengan garapan warna yang lembut menunjukkan kebersihan dan ketenangan alam semulajadi dimana setiap hari manusia dapat menghirup udara yang segar.  

              Karya ini menarik perhatian dari segi pencahayaan yang terang untuk menggambarkan keindahan lautan ketika sang suria terbit.  Namun yang lebih penting, pelukis bukannya bertujuan mahu melahirkan lukisan yang indah dan cantik. Matlamatnya ialah mencipta suatu rakaman realiti yang dilihatnya sendiri. Karya ini dapat menyedarkan individu bahawa bumi kita sebenarnya indah dengan kurniaan semulajadi daripada tuhan. Dari sudut pandangan pelukis sebagai suatu semangat Impresionisme yang mahu merakamkan  kesan visual dari realiti. Ada pergerakan, cahaya dan sesuatu yang amat dekat dengan mata kita yang boleh digambarkan secara realiti.

 disediakan oleh :
 Noor Fadhilah (IPG KAMPUS RAJA MELEWAR)

***free to copy***

No comments:

Post a Comment