follow me....

Sunday, May 6, 2012

Apreseasi Karya Pelukis Malaysia Aliran Impressionisme


Peter Harris
“Rumah Rakit Sungai Pahang”(1956)
38.2 x 48.2 cm.

Karya Peter Harris ini bertajuk Rumah Rakit Sungai Pahang. Karya ini bersaiz 38.2cm x 48.2cm dan menggunakan cat guac. Karya ini bertemakan pemandangan landskap tempatan. Ini jelas kelihatan  perumahan rakit di Kuala Lipis yang diambil dari atas tebing. Karya ini telah dihasilkan pada tahun 1956 iaitu sebelum merdeka. Air sungai kelihatan mengalir tenang dengan lambaian redup pohon-pohon di tebing sungai tersebut. Catan gaya impresionis ini mempunyai gubahan seolah-olah telah dibingkaikan oleh dahan-dahan pokok di sebelah tepi kiri dan kanan. 


Beliau telah menggunakan warna sewarna iaitu kumpulan warna hijau dan kuning iaitu  warna  alam  semulajadi. Teknik wash dan sapuan yang terkawal ini digunakan serta pengunaan warna yang tebal dari kebiasaanya. Gabungan  kesemua  elemen-elemen  seni  telah membantu beliau menyampaikan mesej dengan baik. Beliau juga berjaya memasukkan perasaan harmoni dalam karya ini, kesan pergerakan pada permukaan air dan kesan imbangan yang baik terhadap objek-objek yang dilukis. Kadar banding diantara imej yang berada di belakang dengan imej yang berada dihadapan mewujudkan suatu ruang pemisah antara objek. Sebagai contohnya rumah rakit berada pada kedudukan yang rendah berbanding pokok kayu telah membentuk ruang.

Pengunaan garisan tebal dan kasar boleh dilihat pada batang pohon yang terdapat diatas tebing sungai. Cahaya yang datang dari hadapan dan warna yang monokromatik kehijauan menunjukkan keindahan dan ketenangan alam semulajadi tempatan yang belum tercemar oleh arus pemodenan. Jalinan terhasil dari sapuan berus dan warna yang tebal boleh dilihat pada permukaan sungai. 

               Imej pergerakan sungai yang membentuk garis pepenjuru ini dikatakan oleh beliau sebagai pemecah kepada kebuntuan format empat segi bujur karya tersebut. Kesan garisan membantu dalam menyampaikan rupa dan bentuk imej yang digambarkan  oleh  pengkarya.  Warna  yang  digunakan  juga  adalah  warna  yang  baru diperkenalkan kepada pengikut WAG pada masa tersebut dan jarang digunakan pada masa sekarang. Kesan warna berjaya diolah oleh beliau dengan begitu baik dan cantik serta kemas kelihatan. 

                  Karya diatas merupakan salah satu karya yang dihasilkan dengan menggunakan pendekatan baru dalam stail, teknik dan tema dengan menggunakan berus yang lebih besar dan keras serta bahan dan teknik yang lebih tebal daripada cat air. Muliyadi Mahmood dalam bukunya yang betajuk Seni Lukis Moden Malaysia (2001-2004) menyatakan bahawa Peter Harris telah mengolah suatu konsep komposisi yang agak dinamik dan bernyawa terutamanya pada aliran sungai yang bersifat diagonal.

              Karya ini  mengambarkan suasana sebenar yang diambil pada awal merdeka di Malaysia oleh seorang pelukis yang berasal dari barat yang mengambil berat akan suasana tempatan untuk dirakamkan di dalam karyanya. Ini menunjukkan pada masa itu bahawa orang tempatan di negeri Pahang tinggal di sungai Pahang terutamanya diatas rumah rakit. Mungkin kerana sumber makanan dan bekalan air mudah diperolehi disana.

Nilai yang cuba diterapkan oleh pelukis ialah kebersihan dan kedamaian di mana  suasana perkampungan di sungai Pahang yang terpelihara dari pencemaran dan bersih dari kesibukkan kota. Keindahan dan keharmonian penduduk disitu dirakam oleh Peter Harris. Ini menunjukan karya ini berjaya dalam menyampaikan perasaan dan mesej Peter Harris perhadap apa yang ingin beliau ingin rakamkan dan dikongsi untuk tatapan umum.


 disediakan oleh :
 Fadhilah (IPG KAMPUS RAJA MELEWAR)


***free to copy***

No comments:

Post a Comment